Saturday, March 28, 2009

Tanda-Tanda Kebesaran Allah?

Tentu anda pernah melihat gambar-gambar seperti di bawah ini melalui emel atau laman-laman web, bukan?
























Sememangnya mengakui dan mengingati kebesaran Allah itu sangat dituntut dan sangat besar manfaatnya. Tetapi pernahkah anda memikirkan sejauh manakah kebenaran imej-imej di atas? Dan, tak kurang pentingnya, sejauh manakah imej-imej itu memberi kesan kepada jiwa anda?

Selalunya, memang kita akan rasa sangat tersentuh dengan perkara-perkara seumpama ini, dan dengan segera kita akan mengucapkan masya'Allah, atau subhanAllah. Mungkin buat dua hingga tiga detik itu, hati kita benar-benar terasa betapa agungnya kuasa Allah. Seminit berlalu. Sejam. Adakah kita masih merasakan kerdilnya kita di samping kekuasaan itu?

Mari kita lihat sebuah senario alternatif.

Suatu hari, kita bangun daripada tidur yang sungguh nyenyak dan merehatkan. Kita buka jendela, lalu menghirup udara segar, udara yang bertindak balas dengan darah yang mengalir di dalam tubuh kita untuk membentuk makanan bagi setiap sel yang membentuk sorang manusia. Kita lihat fajar yang mula menampakkan diri, dan kita tahu bumi - satu daripada berbilion-bilion object 'celestial' di alam semesta - sedang berputar, dan putarannya kian hampir mendedahkan bahagian bumi yang tadinya diselubungi gelap malam kepada sinar mentari, mentari, sebuah sfera gergasi yang hiruk-pikuk dengan letusan demi letusan nuklear, yang memuntahkan bahang kepanasan yang tidak terhingga, bahang kemusnahan dan cahaya yang sampai kepada seluruh isi bumi sebaliknya membawa janji berterusannya kehidupan untuk manusia, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan.

Kita bangun, berwudhuk, dan menunaikan solat subuh. Dan di seluruh masa itu, anggota-anggota badan kita bergerak menurut perintah otak dan akal kita. Cetusan-cetusan kecil melalui saraf-saraf pada tubuh kita yang sungguh kompleks membolehkan kaki-kaki dan tangan-tangan kita yang tidak lain merupakan himpunan urat-urat, daging-daging otot dan tulang temulang untuk bergerak dan menunaikan hajat-hajat kita, dengan izin Allah. Dengan air yang kita berwudhuk dengannya itulah juga kita menyambung kehidupan, air yang menurut saintis hanyalah gabungan dua atom hidrogen dengan satu atom oksigen itu, yang begitu berharga buat seisi umat manusia.

Kemudian kita bersiap-siap dan melangkah keluar untuk bekerja. Dan begitu juga dengan jiran-jiran kita, sahabat-sahabat kita, semua orang di sekeliling kita, masing-masing keluar menuju haluan masing-masing, kesemuanya untuk mencari rezeki, menyara anak isteri dan sebagainya. Yang makan gaji akan pergi menjalankan tugas, yang berniaga akan membuka premis untuk kunjungan awam, yang bertani akan turun ke ladang dan sang nelayan akan turun ke laut - dan kita hanyalah seorang daripada berjuta-juta manusia yang saling berinteraksi pada hari itu demi mencari sesuap nasi. Sungguh kompleks dan saling melengkapi kehidupan kita ini, dan semuanya diatur dan dipantau dengan begitu teliti oleh Allah s.w.t.

Soalannya, yang manakah tanda-tanda yang lebih besar tentang keagungan Allah; kalimah Allah yang terbentuk di awan, atau kehidupan seharian kita yang penuh dengan sejuta-satu keajaiban-keajaiban 'kecil' ini? Kenapa kita perlu menunggu untuk seekor ikan yang timbul dari laut dengan kalimah Allah pada sisiknya sebelum kita mengagumi kebesaran Allah? Tidakkah setiap satu nafas yang kita ambil itu penuh dengan bukti keagungan tuhan, malah pelbagai keajaiban yang masih jauh lagi untuk kita terangkan dengan pengetahuan sains kita sekarang?

Sekarang cuba lihat kembali gambar ke-5 di atas, di mana beberapa pohon yang dikatakan berada di Jerman "membentuk kalimah Laa'ilaahaillAllah". Berdasarkan pencarian saya mengenai kebenaran imej ini, ternyata ia adalah imej yang palsu. Sekarang, banyak laman web bukan Islam yang mentertawakan umat Islam kerana imej ini.

Saya tidak mengatakan bahawa semua gambar-gambar di atas adalah palsu, tetapi hanya sekadar mengingatkan kita semua dan diri saya sendiri untuk sentiasa berwaspada. Tidak salah untuk kita menolak kebenaran imej-imej seperti di atas sehinggalah tiada ragu-ragu lagi tentang kesahihannya, kerana kita bukan menolak kuasa Allah, tetapi pembohongan manusia. Malah, di dalam Islam, kita dituntut untuk menyelidik kebenaran sesuatu perkara sebelum mengakuinya secara membuta tuli. Sebagaimana pelbagai jenis manusia sanggup memalsukan gambar-gambar UFO, begitulah juga kemungkinannya yang boleh berlaku di sini. Bayangkan sekiranya seorang musuh Islam yang berniat jahat mengedarkan sebuah gambar seperti di atas, kemudian mendedahkan bahawa itu semua adalah 'gurauannya'. Tidakkah anda akan rasa seperti telah diperbodohkan? Apakah pula natijah dan implikasinya kepada jati diri umat yang digelar Islam itu seluruhnya? Adakah kita mahu dilihat sebagai umat yang cetek dan dengkel pemikirannya?

"Seseorang itu hanya boleh diperbodohkan sekiranya dirinya sendiri bersedia dan menerima untuk diperbodohkan".

No comments:

Post a Comment