Thursday, November 20, 2008

Hamba Yang Bersyukur

Suatu hari Aisyah pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. "Kenapa engkau beribadah sebegini ya Rasulullah sedangkan dosa2 engkau yang telah lepas dan akan datang telah diampunkan.?"

Rasulullah s.a.w pun bersabda:"Tidakkah boleh aku menjadi hamba yang bersyukur." (Hadis Sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

* * *

Sememangnya terlalu banyak rahmat dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada kita di dalam kehidupan ini. Selalunya apabila kita menghitung-hitung nikmat yang kita dapat, kita akan berfikir tentang nikmat rezeki, nikmat harta dan kesenangan, nikmat kesihatan tubuh badan, nikmat keluarga yang bahagia, nikmat kejayaan kita di dalam kerjaya masing-masing, dan pelbagai lagi nikmat duniawi yang kita nikmati. Sekali-sekala kita akan terfikir tentang nikmat Islam dan Iman (insya-Allah) yang selalu kita ambil ringan, sedangkan nikmat Islam dan Iman itu jauh lebih besar daripada nikmat-nikmat lain.

Paling jarang, kita terfikir bahawa kewujudan kita itu sendiri adalah satu nikmat yang amat besar. Dengan wujudnya kita, kita berpeluang untuk berusaha ke jalan Allah di dunia yang sementara ini, berusaha mencari keredhaanNya dan berusaha mendapatkan balasan yang terbaik untuk diri kita di akhirat kelak. Cuba bayangkan sekiranya kita tidak wujud langsung di alam ini. Bukan sahaja kita tidak dapat mengejar syurga, malah peluang untuk mendengar tentang syurga juga langsung tidak ada. Tetapi Allah s.w.t. telah menciptakan setiap dari kita, mewujudkan kita daripada tiada kepada ada, dan sekaligus dengan itu memberi peluang kepada kita untuk mendapatkan berbagai-bagai nikmat yang lain yang Allah s.w.t. telah sediakan kepada kita, termasuk syurga.

Saya kadang-kala terfikir soalan-soalan sebegini:
  • "Siapakah yang menyuruh Allah untuk menciptakan kita?"
  • "Siapakah yang menyuruh Allah untuk menyediakan syurga untuk golongan-golongan yang beriman di antara kita?"
  • "Siapakah yang memerintahkan Allah untuk berlaku adil kepada hamba-hambaNya dengan memberi ganjaran syurga kepada manusia yang taat kepadaNya dan neraka bagi manusia yang ingkar?"
Jawapannya, sudah tentu tiada siapa, kerana maha suci Allah, Tuhan yang memerintah sekelian alam, daripada ada barang sesuatu pun yang lebih berkuasa daripadaNya. Allah s.w.t lah yang berhak ke atas segala-galanya, dan tidak ada sesuatu pun yang boleh menyuruh atau menegahNya daripada apa-apa perkara.

Kita majukan soalan-soalan tadi setapak lagi:
  • "Sekiranya tiada sesuatu pun yang boleh menyuruh Allah untuk menciptakan kita, bolehkah Dia tidak menciptakan kita langsung?"
  • "Sekiranya tiada sesuatu pun yang boleh menyuruh Allah untuk memberi ganjaran syurga kepada hamba-hambaNya yang taat kepadaNya, bolehkah Allah membuat keputusan untuk tidak memberi ganjaran syurga kepada mereka?"
  • "Sekiranya tiada sesuatu pun yang boleh menyuruh Allah untuk berlaku adil kepada hamba-hambaNya, bolehkah Allah berlaku zalim terhadap mereka?"
(Baca dulu kandungan seterusnya sebelum anda melatah)

Ingat, Allah yang maha berkuasa atas seluruh alam ini. Siapa kita untuk menolak iradatNya? Sekiranya Dia tidak berkeinginan memberikan syurga kepada hamba-hambaNya yang soleh, adakah sesiapa di antara kita yang boleh memprotes keputusanNya itu? Kalau protes sekalipun, adakah sesiapa di antara kita yang mempunyai kekuatan untuk melawan kehendakNya?

Jawapannya, tentu tidak.

Begitulah besarnya kuasa dan keagungan Allah s.w.t. Sungguh kerdil diri kita ini di hadapan kebesaranNya, kerana walau apa pun perintah dan kehendakNya, kita tidak ada sedikit pun kuasa untuk menghalang.

Tetapi, maha suci Allah daripada bersifat zalim. Dia telah mengutuskan rasul-rasulNya dan kitab-kitabNya kepada kita dan umat manusia yang lain sebagai petunjuk. Dia telah menjanjikan balasan yang baik sekiranya kita taat kepada perintahNya, dan balasan yang pedih sekiranya kita ingkar dan kufur. Ini adalah janji Allah kepada kita, dan maha suci Allah daripada memungkiri janji. Walaupun tiada sesuatu pun di alam ini yang boleh memaksa Allah s.w.t. untuk membuat dan memenuhi janji ini, kita telah diperintahkan untuk percaya dengan penuh yakin bahawa itulah hakikat balasan yang disediakan oleh Allah.

Allah s.w.t. dengan iradatnya telah mengambil Ar-Rahman dan Ar-Rahim sebagai nama-nama dan sifat-sifatNya di antara bermacam lagi sifat-sifat yang indah dan mulia. Sekiranya Dia tidak berkehendak untuk menjadi yang Maha Pemurah dan yang Maha Penyayang, bolehkah kita sebagai hamba yang sangat kerdil dan tidak berkuasa sedikitpun ini memaksaNya untuk berbuat demikian?

Sudah tentu tidak!

Inilah jawapan kepada soalan Sayyidatina Aisyah r.a. Inilah sebabnya kenapa nabi kita Muhammad s.a.w. tetap terus beribadah dengan sebegitu tekun kepada tuhannya, walaupun baginda adalah kekasihNya dan telah dijanjikan dengan syurgaNya yang paling tinggi.

No comments:

Post a Comment