Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
‘Tidak beriman seseorang kamu sehingga Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihinya daripada yang lain dari keduanya’. (Riwayat Ahmad)
Dari Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda :
‘Tidak (sempurna) iman seorang kamu, sebelum dia menyukai untuk saudaranya (sesama Islam) apa yang disukainya untuk dirinya sendiri’
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
‘Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya.’ (Riwayat Ahmad, At-Tirmizi dan AI-Hakim)
Daripada Jabir Bin Abdullah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): ‘Barangsiapa yang tidak menyayangi (mengasihi) sesama manusia, niscaya Allah tidak akan menyayangi (mengasihi)nya.’
* * *
Daripada hadith-hadith di atas, jelaslah bahawa kita dituntut untuk berkasih sayang sesama saudara kita yang seIslam. Kita juga dituntut untuk mengasihi Allah dan RasulNya lebih daripada segala-galanya. Kebanyakan daripada kita jelas dengan tuntutan-tuntutan di atas. Kita faham bahawa mengasihi Allah dan RasulNya lebih dari yang lain bermaksud mentaati segala perintah-perintah Allah s.w.t. dan menjauhi laranganNya, dan juga mematuhi segala ajaran-ajaran dan sunnah nabi kita Muhammad s.a.w., tanpa ada sesuatupun yang kita pentingkan lebih daripada perkara-perkara tersebut. Kita juga faham bahawa ikatan Ukhuwah sesama Islam adalah sangat penting dalam memelihara kekuatan Ummah, justeru kita dituntut untuk sentiasa prihatin, tolong-menolong, dan sama-sama memikul tanggungjawab untuk memastikan bahawa nasib setiap daripada saudara-saudara kita terbela.
Tetapi perhatikan hadith yang terakhir di atas. Selain daripada mengasihi Allah, RasulNya, dan saudara seIslam, kita juga dituntut untuk mengasihi sesama manusia. Hadith ini menyebut 'manusia', dan tidak membezakan sama ada manusia itu adalah Islam atau Kafir, Nasrani atau Yahudi. Jadi bagaimanakah untuk kita mengikuti suruhan hadith ini, sedangkan kaum-kaum yang kafir itu adalah musuh yang nyata bagi Umat Islam?
Untuk menjawab soalan tersebut, kita perlu kembali kepada asas, iaitu dengan menanyakan semula maksud sebenar perkataan yang selama ini kita rasa kita pasti dengan jawapannya.
Apakah maksudnya apabila kita dikatakan 'mengasihi' seseorang?
Sifat 'kasih' itu ditunjukkan dengan banyak cara. Kita mengasihi isteri dan anak-anak kita. Apakah bukti kita mengasihi mereka? Kita carikan rezeki untuk mereka supaya mereka dapat hidup yang sempurna, kita pastikan makan pakai mereka cukup, kita pastikan mereka mendapat didikan yang sempurna, kita pastikan mereka mendapat rawatan apabila sakit, dan bermacam-macam lagi. Begitu juga sang isteri mengasihi suami dan keluarga, dengan memasakkan makanan yang baik-baik, mendidik anak-anak, prihatin dengan keadaan suami dan menjadi pendengar atau penasihat yang setia dikala suami berkongsi masalah.
Dengan erti kata lain, kita akan cuba melindungi orang-orang yang kita kasihi itu dengan berbagai-bagai cara. Melindungi mereka daripada kemelaratan, kesempitan hidup dan kesengsaraan, melindungi mereka daripada masalah-masalah kecil dan besar, melindungi mereka daripada kesedihan, melindungi mereka daripada kesakitan dan kecederaan, dan bermacam-macam lagi.
Cuba kita fikirkan pula, di antara pelbagai dugaan hidup di atas, yang manakah adalah perkara yang paling bahaya? Adakah ia kemiskinan? Kesedihan? Kesakitan? Atau mungkin kematian? Cuba kita fikirkan perkara yang paling buruk dan dahsyat yang boleh berlaku kepada orang yang kita kasihi. Sekiranya kita tahu apa perkara ini sebenarnya, sudah tentu kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi mereka daripada terjerumus ke dalamnya.
Perkara yang paling dahsyat ini, sudah tentu adalah sekiranya mereka mendapat azab Allah s.w.t. dan dihumban ke dalam neraka. Tiada kesusahan di dalam alam ini yang lebih teruk daripada itu.
Jadi, mari kita renung kembali, sejauh mana sebenarnya kasih kita kepada saudara-saudara kita di dalam Islam dan juga kepada umat manusia yang lain seluruhnya. Mungkin kita telah berikan kemewahan kepada isteri dan anak-anak kita, tetapi adakah kita selalu mengingatkan mereka untuk bersolat? Mungkin kita pastikan mereka mendapat rawatan di wad yang paling mahal apabila mereka sakit, tetapi selalukah kita mengingatkan mereka untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang dilarang Allah? Mungkin kita berbaik-baik dengan kenalan kita yang bukan Islam (contohnya cina tauke bengkel di mana kita selalu menghantar kereta untuk diservis), melayan mereka sama baik dengan sahabat-sahabat kita yang lain, tetapi pernahkah kita terfikir betapa mereka itu berada di dalam kesesatan dan berdepan dengan bahaya besar azab Neraka? Sekiranya kita betul-betul mengasihi mereka, tidakkah kita akan berusaha sedaya upaya memikirkan bagaimana untuk menarik mereka ke jalan yang benar?
Inilah intipati 'kasih' yang sebenar, sama ada sesama saudara Islam, atau sesama insan. Selagi kasih kita tidak meliputi rasa tanggungjawab untuk melindungi mereka daripada kesesatan dan azab akhirat, selagi itu kita belum betul-betul mengasihi sesama manusia, dan selagi itulah kita tersisih daripada kasih sayang Allah s.w.t yang sepenuhnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment